Tuesday, October 26, 2010

IFSA... Satu Impian

Penasihat Keselamatan Kewangan Islam yang juga diperkenalkan sebagai IFSA diilhamkan daripada beberapa siri dan pengalaman sendiri serta sahabat-sahabat yang dilalui sepanjang berkhidmat sebagai Penyelaras di Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia.

Sejak mula memasuki alam pekerjaan yang pelbagai seperti kakitangan sementara, tidak tetap, kontrak dan akhirnya bertaraf tetap tidak putus-putus persoalan tentang permasalahan kewangan yang menghantui kita. Dari sahabat handai, kaum keluarga, adik-beradik, ibu bapa dan diri sendiri semuanya akan terlibat dengan kewangan. Dari hutang membeli gula-gula, aiskrim di masa kecil, mula mengenali teknologi ketika di peringkat remaja dengan handphone dan pelbagai gajet sehinggalah kepada pengurusan bajet dalam memiliki kenderaan dan rumah ketika di alam pekerjaan.

Semakin rancak program, iklan dan kempen kesedaran semakin giat pula di pihak satu lagi yang semakin memudahkan kita memiliki sesuatu yang di luar kemampuan normal. Ansuran Mudah... Mudah bunyinya dan agak menarik. Namun apa yang sukar adalah setelah selesai menandatangani perjanjian. Ia terus berlaku dan tidak menunjukkan tanda kepada satu kesudahan. Akhirnya kita menganggapnya BIASA.

Anak-anak muda yang baru diberi peluang menerokai alam pekerjaan begitu ghairah dengan UPAH PERTAMAnya. Maklumlah sekian lamanya menanti untuk mendapat hasil titik peluh sendiri yang pertama, kereta idaman sendiri, gajet terkini dengan duit sendiri. Alangkah gembiranya hati tanpa kongkongan PENASIHAT KEWANGAN ketika dalam kawalan ibu bapa. Bulan pertama berlalu dan WARKAH SUCI pertama dibuka dengan cermat.... masih bersih dari NODA-NODA dunia penuh penipuan dan kekejaman. Warkah suci sebegini memang diminati oleh mereka yang bergelar sebagai MANUSIA PARASIT.

Hairan dan pelik apabila tiba masanya 2 bulan selepas itu menampakkan coretan yang memang mengguris hati pemilik warkah suci. Gaji berkurangan, imbangan sudah semakin berat ke sebelah kanan, mula berharap kenaikan tahunan dan natijahnya mencari ruang di mana lagi harus ku coretkan warkah suci itu. "Gaji pertamaku, hadiah untuk ibu... Bulan seterusnya, hadiah buat yang tersayang... Pembiaya Kewangan", detik hati kecilnya. Dari pinjaman kereta, pembiayaan peribadi, kad kredit dan sebagainya tanpa kesudahan.

"Kenapa tidak aku dikhabarkan begitu hebatnya dugaan di alam pekerjaan yang penuh gelora ini?", hatinya merintih lagi. Alangkah bagusnya kalau ada yang membimbing dan menasihati anak muda ini dan lebih bagus lagi jika mereka berada di sekeliling kita. Satu impian...

No comments:

Post a Comment